PUTRAJAYA : Syarikat agensi pelancongan dibenarkan beroperasi serta-merta tanpa perlu mendaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) bagi menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi yang akan bermula 16 September ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada pagi tadi.
Justeru, Nancy menyifatkan, keputusan tersebut sebagai berita baik dan yakin usaha membantu sebanyak 5,335 syarikat agensi pelancongan berdaftar di negara ini yang terkesan hampir dua tahun untuk menjana semula pendapatan mereka dapat dilaksanakan segera dan berjalan lancar.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memulihkan ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan terutamanya dalam mengekalkan pekerjaan mereka yang terlibat dalam rantaian sektor yang sama.
“Malah, insentif seperti pemberian bantuan khas one-off RM3,000 kepada agensi pelancongan turut disediakan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga Julai lalu, sejumlah 2,899 agensi pelancongan telah menerima bantuan dengan jumlah pembayaran sebanyak RM8.6 juta, manakala pembayaran kepada 2,436 agensi pelancongan lagi sedang diproses.-UTUSAN ONLINE