3 peruncit, pembekal terima notis jual ayam terlalu mahal  - Utusan Malaysia

3 peruncit, pembekal terima notis jual ayam terlalu mahal 

HARGA ayam meningkat sehingga RM10.50 sekilogram di pasar awam di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan tiga notis pengesahan maklumat barangan ke atas tiga syarikat pembekal dan peruncit berhubung kenaikan harga jualan ayam segar semalam. 

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, tindakan tersebut diambil susulan laporan pengguna mengenai kenaikan sehingga mencecah RM10.50 sekilogram di pasar awam di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan. 

Menurutnya, bagaimanapun perkara tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011. 

“Siasatan akan dilakukan sejurus kami menerima maklumat harga daripada dua pihak peruncit dan satu pembekal  di pasar awam itu nanti. 

“Kita sedaya upaya mengenal pasti punca berlakunya kenaikan harga ayam segar yang mencecah RM10.50 sekilogram ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa KPDNHEP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil tindakan segera berhubung isu kenaikan harga ayam segar, sayur dan buah-buahan di pasar. 

“Berlaku kenaikan harga ayam segar iaitu daripada RM9 menjadi RM10 sekilogram sejak dua minggu lalu. Peniaga juga memaklumkan akan berlaku lagi kenaikan harga ayam nanti. 

“Begitu juga dengan harga sayur-sayuran  seperti bendi (daripada RM7 kepada RM10 sekilogram), sawi (RM4.50 menjadi RM6), cili padi (RM7 kepada RM9) dan cili merah (RM25) dan lobak merah (RM6),” ujarnya. 

Beliau memberitahu, kenaikan harga  tersebut kemungkinan berlaku disebabkan penutupan sementara sejumlah pasar basah di negeri ini susulan terdapat  peniaga disahkan positif wabak Covid-19 sehingga pengguna sukar mendapatkan bekalan tersebut. 

“Ini juga memberi peluang kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan secara mendadak,” tambahnya. 

Terdahulu,  media melaporkan pengguna di negeri ini bersedia untuk memboikot beli ayam segar di pasar awam berikutan harga pasarannya ketika ini dikatakan terlampau mahal sehingga mencecah RM10 sekilogram. 

Rata-rata mereka memberitahu harga baharu itu dilihat tidak masuk akal dan  jauh berbeza iaitu RM7.90 sekilogram ketika pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN