3 faktor individu lengkap divaksin masih tiada sijil digital - Utusan Malaysia

3 faktor individu lengkap divaksin masih tiada sijil digital

DR. ADHAM (berbaju biru) mendengar penerangan petugas ketika melawat tapak pameran di UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenal pasti tiga faktor utama yang menyebabkan ada individu yang sudah lengkap dua dos namun masih belum menerima sijil digital vaksin.

Tiga faktor terbabit ialah nombor siri vaksin yang tidak dikemaskini di stesen terakhir, maklumat penerima dalam aplikasi MySejahtera berbeza dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta suntikan vaksin di luar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mengulas faktor pertama, Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, disebabkan kesibukan mereka menyuntik ratusan ribu vaksin setiap hari, ada nombor siri vaksin tidak dikemas kini di akhir proses oleh petugas di stesen vaksinasi yang terakhir.

Faktor kedua pula kata beliau, ketika membuat pendaftaran di MySejahtera, penerima tersilap memasukkan maklumat diri seperti ejaan nama berbeza atau nombor kad pengenalan tidak lengkap berbanding data yang ada pada JPN.

“Selain itu, ada data yang diterima daripada program vaksinasi di luar PICK, contohnya oleh kerajaan negeri, pihak swasta, pejabat kedutaan serta penerima vaksin di luar negara yang mana data-data tersebut tidak melalui sistem PICK.

“Oleh itu, data-data tersebut perlu disahkan dan dikemas kini terlebih dahulu, menyebabkan sijil digital penerima vaksin tidak dapat dikeluarkan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke negeri ini hari ini.

Terdahulu beliau meluangkan masa melawat Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pengkalan Chepa dan seterusnya meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Tunjong, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan memberi tempoh seminggu kepada pasukan MySejahtera menyelesaikan kes penerima vaksin yang sudah lengkap dua dos namun masih tidak memiliki sijil digital.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, setelah tiga faktor utama terbabit dikenal pasti, MOSTI sebagai penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Kementerian Kesihatan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Malaysia telah mencapai peratusan kadar vaksinasi melebihi 90 peratus bagi populasi dewasa yang sudah menerima satu dos dan 70 peratus bagi dua dos lengkap.

Perkembangan tersebut menyaksikan lebih 50 peratus populasi keseluruhan negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin manakala 65 peratus pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya