PETALING JAYA : Angka mencatatkan sebanyak 807 kemalangan jalanraya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus sejak Januari sehingga September 2021.
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, berdasarkan statistik data Kementerian Dalam Negeri (KDN), ia melibatkan 29 kes kemalangan maut , 17 parah, 49 ringan dan 712 rosak.
“Kajian mendapati bahawa faktor manusia adalah merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.
“Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu. Dalam kes berkaitan yang memandu lawan arus ini, kebelakangan ini telah kerap dilaporkan berlakunya kes-kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini amat membimbangkan,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) meminta kerajaan menyatakan data dan statistik kemalangan jalanraya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus dari Januari 2021 sehingga kini serta faktor penyumbang.
Selain itu, MOT telah berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi memupuk sikap pemanduan berhemah serta pematuhan peraturan jalan raya bermula di peringkat pra-sekolah sehingga ke sekolah menengah. -UTUSAN ONLINE










