200 penduduk setinggan lega terima rumah selesa - Utusan Malaysia

200 penduduk setinggan lega terima rumah selesa

SEBAHAGIAN penduduk gembira menerima kunci rumah berlatar belakangkan kediaman baharu selepas Sesi Penyerahan Kunci Projek Perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Pendas Laut, Iskandar Puteri di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kira-kira 200 bekas penduduk setinggan di Kampung Ladang Darat di Gelang Patah berasa amat bersyukur dan teruja apabila hasrat untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Projek penempatan semula yang dilaksanakan kerajaan negeri di tanah seluas lebih dua hektar di Kampung Pendas Baru Fasa 2, Gelang Patah ditanggung anak syarikat kerajaan negeri, Iskandar Investment Berhad (IIB) membabitkan kos RM16.3 juta.

Bagi Ahmad Abdullah, 66, dia tidak sabar untuk melangkah masuk ke rumah baharu itu setelah rumahnya yang didiami di Kampung Pok berada dalam keadaan sangat usang.

Katanya, setiap kali hujan, pasti rumahnya dimasuki air kerana bumbung rumah terdapat banyak tempat bocor dan tidak lagi berdaya untuk menampalnya.

“Dengan adanya rumah baharu ini, pastinya kehidupan kami sekeluarga lebih selesa. Saya tak sabar untuk berpindah masuk, ini mengembalikan memori ketika membesar di kampung ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Abdul Rahim Jamali, 64, dia perasaan lain yang boleh diungkapkan melainkan perkataan gembira apabila penantiannya hampir empat tahun itu berakhir dan kini rumah batunya sudah siap.

Dia yang menetap di Johor Bahru buat sementara waktu ini tidak sabar untuk kembali menghuni di kampung berkenaan setelah lama ditinggalkan.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan berpindah semula dalam masa terdekat,” katanya yang akan berpindah bersama isteri dan dua anaknya yang belum mendirikan rumah tangga.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Kampung Pendas Laut di sini semalam.

Hasni berkata, ini adalah lanjutan daripada bancian semula yang dibuat kerana didapati bahawa terdapat 46 keluarga yang tertinggal daripada senarai asal bagi program penempatan semula.

Katanya, projek penempatan semula ini dibuat setelah beberapa penduduk asal di kawasan Kampung Ladang Darat terlibat dalam program pembangunan.

“Jadi, setelah kerajaan negeri berbincang dengan pihak IIB, mereka bersetuju kerajaan sediakan tapak dan IIB bersedia membina kawasan penempatan baharu ini,” katanya.

Rumah teres satu tingkat yang dibangunkan itu berkeluasan 1,000 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air selain turut dilengkapi kemudahan awam antaranya dewan serba guna, surau dan taman permainan kanak-kanak.

Sebelum ini, IIB telah menyerahkan kunci 72 unit rumah kepada penduduk yang terlibat bagi Fasa 1 pada 2011.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya