Pintas Utama Sdn. Bhd. melalui Yayasan Pintas Utama (YPU) menghulurkan bantuan tunai sebanyak RM30,000 kepada 60 keluarga selain RM5,000 untuk kos pembaikan surau di Kampung Teroi Bukit, Yan, Kedah hari ini.
Bantuan disampaikan susulan kejadian banjir Rabu lalu yang mengakibatkan kerosakan harta benda terutama kediaman dan kemudahan penduduk kampung akibat ditenggelami air.
YPU sebelum ini banyak menghulurkan sumbangan melalui program-program bantuan kepada golongan memerlukan.
YPU dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Yan telah mengenal pasti maklumat mangsa banjir serta berjaya menghubungi wakil penduduk kampung berkenaan.
Sumbangan disampaikan oleh wakil YPU yang juga Ketua Operasi Cerun, Pintas Utama, Hazman Ahmad kepada Muhamad Zamri bin Said selaku Pengerusi Komuniti Kampung Teroi Bukit. Sumbangan diharap dapat meringankan beban penduduk kampung dan kembali menjalankan aktiviti harian seperti biasa. -UTUSAN ONLINE