PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi ruang untuk mempertimbang dan membuat keputusan sama ada terdapat keperluan melantik dan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekalipun ada pihak berhasrat mewujudkan jawatan itu, timbul persoalan tentang tanggungjawab yang akan dibawa nanti.
“Berilah ruang, peluang dan kebebasan kepada perdana menteri dalam membuat keputusan ini. Sama ada negara perlu atau tidak akan jawatan ini, apa peranan yang akan diberikan nanti?
“Singapura mengambil Menteri Mentor dalam kalangan bekas perdana menterinya yang sudah lama berkhidmat dan memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang.
“Itu pun bila jadi Menteri Mentor dengan pelantikan yang ada matlamat tertentu. Bukannya suka-suka dilantik kerana terhutang budi atau untuk mengisi ‘kerusi’ semata-mata,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 23 Jun tahun lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk berbincang mengenai kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad jika beliau bersedia dijadikan menteri kanan atau kedudukan yang setaraf seperti Kuan Yew.
Hal itu kerana Mahathir tidak wajar diangkat sebagai perdana menteri untuk kali ketiga. Pun begitu, Dr. Mahathir menolak cadangan tersebut.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, memetik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, Muhyiddin dicadangkan dilantik sebagai Menteri Mentor dalam kerajaan jika mendapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Mentor merupakan perjawatan di Singapura ekoran rombakan Kabinet dan Kuan Yew, menjadi satu-satunya individu memegang tanggungjawab itu selepas berundur daripada jawatannya selepas 34 tahun.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau yakin Ismail Sabri akan membuat keputusan yang terbaik bukan sahaja pembentukan Kabinet dan Menteri Mentor malah dasar-dasar pentadbiran negara dalam keadaan yang pasti mencabar.
“Yang penting sekarang ialah barisan Jemaah Menteri mampu terus bergerak dan berfungsi cemerlang dengan segera untuk rakyat. Bak kata Mohamed Khaled, tiada tempoh bulan madu untuk pentadbiran ini mendepani segala cabaran di hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berpandangan, beliau akur jika pucuk pimpinan tertinggi dan rakan parti komponen kerajaan bersetuju akan pelantikan Muhyiddin sebagai penasihat dalam kerajaan.
“Saya tidak boleh memberi penjelasan lanjut tentang perkata ini kerana belum menerima keputusan rasmi daripada parti. Cuma, kalau itulah yang sudah dipersetujui oleh semua pihak, kenapa tidak untuk wujudkan jawatan ini dan lantik Muhyiddin?,” soalnya. -UTUSAN ONLINE










