Warga Putrajaya teruja ‘dine-in’ di medan selera - Utusan Malaysia

Warga Putrajaya teruja ‘dine-in’ di medan selera

SUASANA hari pertama medan selera di Alamanda Putrajaya dibuka untuk pengunjung lengkap vaksin menikmati hidangan secara ‘dine-in’. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelonggaran dibenarkan menjamu selera di premis makan melibatkan negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyaksikan ramai mengambil peluang tersebut.

Tinjauan di Alamanda Putrajaya di Presint 1 di sini  semalam mendapati, mereka yang sudah pun lengkap dua dos vaksin datang untuk ‘dine’in’ di medan selera pusat beli-belah utama itu.

Bagaimanapun, mereka yang belum menerima dua dos atau kurang tempoh matang vaksinasi hanya dibenarkan membawa pulang makanan dalam bungkusan setelah membeli hidangan.

Salah seorang pengunjung, Norfaezah Saad, 29, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, dia memang sudah lama merancang untuk datang menikmati sajian di medan selera berkenaan.

“Semalam, apabila diumumkan kerajaan menerusi berita di televisyen, saya agak gembira dan teruja tidak melepaskan peluang setelah beberapa bulan tidak dapat makan di luar,” katanya.

Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memaklumkan bermula hari ini penduduk di lima negeri dan dua wilayah persekutuan diberikan kelonggaran sektor tertentu termasuk boleh makan di restoran, aktiviti sukan bukan berkumpulan tanpa sentuhan, kegiatan rekreasi selain perkhemahan dan perkelahan serta operasi pasar malam dan minggu.

Kelonggaran itu memberi peluang penduduk di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya sedikit kebebasan seperti Fasa Dua dan Tiga PPN.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang juga pekerja swasta, Akmaliah Abdul Hamid, 31, berkata, suasana hari pertama masih belum sibuk mungkin kerana ramai masih belum tahu.

“Saya datang tadi untuk makan tengah hari memang nampak agak lengang dan ramai datang hanya membeli secara bungkus untuk makan dibawa balik ke tempat kerja semula,” katanya.

Medan selera tersebut yang mengandungi lebih 20 gerai pelbagai hidangan, sering menjadi tumpuan penjawat awam dari Kompleks D, E dan F serta kawasan perumahan di Presint 16.

Seorang penduduk Putrajaya, Khairul Ikhwan Ali, 42, berkata, dia kebetulan memang singgah di medan selera di situ untuk makan tengah hari kerana ada urusan berdekatan kompleks itu.

“Setiap pengunjung diperiksa teliti dan kena tunjuk sijil vaksinasi digital melalui aplikasi MySejahtera bagi memastikan mereka yang belum lengkap tidak cuba ambil kesempatan,” katanya.

Tinjauan mendapati, pengawal ditempatkan di laluan masuk ke medan selera itu dan hanya yang menunjukkan sijil imunisasi lengkap diberikan kad ‘dine-in’ yang terhad 150 pengunjung.

Keadaan juga agak terkawal tanpa ada kesesakan di setiap gerai untuk mereka yang cuma membeli secara bungkusan, manakala ruang duduk dan meja pula dijarakkan lebih satu meter. -UTUSAN ONLINE


 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN