MELAKA: Pemberian vaksin kepada penjaja kecil, peniaga dan pekerja pasar awam di negeri ini perlu disegerakan bagi mengekang penularan Covid-19 di kawasan tumpuan ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman berkata, golongan berkenaan antara yang mudah dijangkiti virus maut tersebut kerana sering berurusan dengan orang ramai.
Menurut beliau, beberapa pasar awam seperti di Kuala Sungai Baru dan Masjid Tanah telah diarahkan tutup baru-baru ini selepas pihak berwajib mendapati ramai kontak positif berkunjung ke lokasi berkenaan.
“Saya berharap penjaja serta peniaga di pasar-pasar segera diberikan suntikan vaksin bagi memastikan diri mereka dilindungi sama seperti yang kita lakukan untuk sektor industri peruncitan.
“Lebih 30,000 pekerja industri sudah menerima vaksin, jadi, mengapa tidak percepatkan suntikan kepada mereka juga.
“Justeru, tindakan segera perlu diambil oleh agensi atau badan-badan tertentu yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Program Vaksinasi Industri Peruncitan (Rivac) di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.
Sementara itu, mengenai operasi Rivac pertama di Melaka, Ismail memberitahu, pihaknya menyasarkan 8,000 pekerja sektor peruncitan akan diberikan vaksin dalam tempoh 10 hari.
Katanya, Rivac di Dataran Pahlawan Melaka Megamall itu yang memulakan operasi hari ini bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang mampu memberikan 800 suntikan sehari.
“Mereka akan menerima vaksin jenis Sinovac secara percuma. Bekalan vaksin diperoleh daripada kerajaan Persekutuan dan tidak menggunakan kuota negeri.
“Saya difahamkan, penerima suntikan ini hanya untuk pekerja yang sudah mendaftar melalui majikan mereka. Kepada yang belum berbuat demikian, saya sarankan segera mendaftar bagi memastikan keselamatan para pekerja terutamanya yang bertugas di bawah kategori perkhidmatan perlu ketika ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










