Vaksin pada usia kandungan 14-33 minggu ikut syor pengeluar vaksin - Utusan Malaysia

Vaksin pada usia kandungan 14-33 minggu ikut syor pengeluar vaksin

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil yang ditetapkan pada usia kandungan 14 ke 33 minggu adalah mengikut panduan keselamatan yang disyorkan syarikat pengeluar vaksin dan juga kebenaran daripada Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin adalah sebagai salah satu ikhtiar perlindungan dalaman sebagaimana yang turut disarankan kepada semua individu dewasa bagi mengurangkan risiko tahap keterukan sekalipun dijangkiti selepas menerima vaksin.

Katanya, bagi golongan ibu hamil yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 teruk, langkah-langkah pencegahan amat penting bagi mengelakkan jangkitan.

“Setiap mereka masih perlu patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan kalau tiada urusan penting, duduk di rumah. Ini adalah perlindungan luaran untuk elak daripada dijangkiti,” katanya di sini semalam.

Pakar Runding Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Shilpa Nambiar kelmarin berpendapat, Malaysia perlu melihat semula peraturan pemberian vaksin kepada ibu hamil yang ditetapkan pada usia kehamilan 14 hingga 33 minggu sahaja dan sepatutnya boleh mencontohi negara luar untuk diberikan kepada semua peringkat kehamilan.

Beliau berkata, kajian sudah membuktikan bahawa tidak ada sebab mengapa vaksin tidak boleh diberikan kepada wanita hamil sejak awal mengandung lagi atau selepas tempoh 33 minggu.

Pada masa ini, Kementerian Kesihatan mengesyorkan vaksin keluaran Pfizer diberikan kepada ibu hamil yang disarankan menerima vaksin pada tempoh 14 hingga 33 minggu hamil berdasarkan panduan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, Sinovac dan AstraZeneca juga diklasifikasikan bersesuaian berdasarkan panduan yang dikemas kini kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan menyeru semua ibu hamil untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti Covid-19.

“Ibu hamil yang belum menerima janji temu untuk vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu,” katanya.

Sehingga 8 Ogos lalu, seramai 146,759 ibu hamil mendaftar dalam aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin Covid-19, sejak kempen dimulakan pada akhir Jun.

Seramai 83,251 orang iaitu 57 peratus ibu hamil sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala mereka yang lengkap menerima dua dos vaksin ialah 20 peratus.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham mendedahkan, kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan ibu mengandung semakin serius, dengan 78 kematian direkodkan sejak Januari lalu sehingga 8 Ogos lalu berbanding tiada kematian dilaporkan pada tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN