YAN: Seorang mangsa tragedi kepala air sanggup mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,800 untuk mengupah pekerja membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur selepas kejadian kepala air di Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.
Penduduk terbabit, Zulkiflie Mat, 50, dari Kampung Titi Hayun berkata, rumahnya yang terletak dua meter sahaja dari Sungai Titi Hayun dimasuki lumpur setinggi lebih 50 sentimeter dalam kejadian itu.
Menurutnya, dia mula mengupah tujuh pekerja membersihkan lumpur di rumahnya selepas dua hari bencana ‘Tsunami Jerai’ tersebut.
Katanya, pekerja tersebut mengambil masa selama tiga hari untuk membersihkan lumpur tersebut.
“Saya bertindak demikian kerana mahu memberi peluang anggota sukarela membersih rumah mangsa lain yang dimasuki lebih teruk,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin .
Selain itu, Zulkiflie yang bertugas di Hospital Yan berkata, dia terpaksa mengupah pekerja kerana tidak terdaya membersihkan sendiri lumpur yang memasuki rumahnya.
“Saya dan isteri serta dua anak dua anak perempuan berumur 13 dan 17 tahun tidak mampu membersihkan semua lumpur tersebut dalam masa yang singkat,” katanya.
Selain itu, tambahnya, dia juga mengalami kerugian besar selepas pelbagai barangan rumah seperti perabot dan barangan elektrik mengalam kerosakan.
“Bagaimanapun saya bersyukur ahli keluarga saya terselamat dalam kejadian kepala air yang kali pertama berlaku sejak menetap di sini lebih lima tahun lalu,” ujarnya.
Dalam kejadian kepala air yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu seramai enam mangsa terkorban.
Selain itu, sebanyak 1,732 rumah, 124 premis perniagaan dan 14 pengusaha chalet di Yan dan Tupah, Merbok, Kuala Muda terjejas dalam kejadian itu.
Tragedi kepala air itu dipercayai berlaku berikutan hujan lebat luar biasa di puncak Gunung Jerai pada hari kejadian.- UTUSAN ONLINE