Undi18: PN, Armada ada resipi tarik sokongan anak muda - Utusan Malaysia

Undi18: PN, Armada ada resipi tarik sokongan anak muda

WAN Ahmad Fayhsal bergambar bersama Pengurus PPV UiTM Shah Alam, Dr. Zaiton Nasir ketika mengadakan lawatan di PPV itu yang memasuki hari ke-44 operasinya sejak dibuka pada Jun lalu. - UTUSAN / MOHAMAD ATHIR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Angkatan Anak Muda (Armada) Parti Bersatu yakin, parti itu serta gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan anak muda apabila undi 18 tahun (Undi18) dilaksanakan nanti.

Malah parti itu juga yakin dengan resipi dan manifesto dibawakan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi belia mampu menarik perhatian pengundi anak muda itu untuk mengundi PN nanti.

Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu, Undi18 adalah aspirasi anak muda yang perlu diraikan dan peluang demokrasi itu perlu diberikan seluas-luasnya kepada mereka.

“Undi anak muda, pandangan saya adalah semua parti berhak mendapat undi daripada pengundi anak muda. Terpulanglah kepada kempen, manifesto dan wawasan negara yang ditawarkan parti masing-masing.

“Saya yakin di peringkat kami, di bawah gabungan PN, kita ada resepi tersendiri untuk menarik minat dan undi anak muda, Insya Allah. Kita bersedia, ini adalah aspirasi anak muda yang kita perlu raikan dan kalau tidak memberikan ruang demokrasi yang luas kepada mereka, itu yang akan ramai ke jalanan. 

“Itu adalah satu perkara yang tak baik untuk negara, kita perlu sediakan ruang demokrasi yang luas antaranya ialah melalui Undi18,” katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Dua tahun lalu Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan golongan belia yang berusia 18 tahun turun mengundi dalam pilihan raya tanpa perlu menunggu sehingga umur 21 tahun.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia melaporkan pelaksanaan Undi18 bakal memperlihatkan parti-parti berlumba-lumba mengetengahkan calon-calon muda untuk bertanding dalam PRU akan datang.

Memetik kenyataan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Undi18 secara tidak langsung telah memberi ruang seluas-luasnya kepada  anak muda untuk menyuarakan hasrat dan hak mereka dalam negara demokrasi.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal memaklumkan Undi18 masih lagi belum dikuatkuasakan termasuk membenarkan pendaftaran secara automatik adalah disebabkan sistem menerusi Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) masih belum bersedia untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, beliau menambah belum mendengar lagi jika isu berkenaan akan dibangkitkan dalam Parlimen sama ada di Dewan Rakyat dalam sidang penuh yang dijadualkan berlangsung pada September nanti.

“Setakat ini saya tak dengar lagi, cuma yang saya difahamkan dalam peringkat kabinet, ordinan yang untuk memudahkan pendaftaran automatik itu ada, cuma saya tak pasti sama ada ia akan dibentangkan lagi. Jadi, kita kena bawa juga. Saya menyokong penuh pelaksanaan Undi 18, cuma kita kena harapkan sistem SPR itu bersedia dari segi pendaftaran automatik itu sendiri.

“Yang tak sedia sebenarnya adalah sistem, bukan dari segi undang-undang. Dari segi undang-undang pun sudah jalan, kita pun sudah sokong cuma hendak pastikan sistem itu sama dengan maklumat dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN