UMNO Sabah akur ketetapan parti, guna autonomi terus bersama GRS - Utusan Malaysia

UMNO Sabah akur ketetapan parti, guna autonomi terus bersama GRS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas pelbagai persoalan timbul mengenai pendirian UMNO Sabah, akhirnya mereka tampil mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO Sabah menghormati keputusan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Bagaimanapun, di peringkat negeri, UMNO Sabah menggunakan kuasa autonomi untuk mengekalkan kerjasama dan terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam satu kenyataan semalam, UMNO Sabah memaklumkan mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang lepas akan dihormati dan diperkukuh.

“Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.

“Kami berharap pendirian ini dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negeri Sabah,” kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu turut menyatakan UMNO Sabah menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua utama negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

Seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepemimpinan dan ahli Umno Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada Raja-Raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung serta memayungi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.

UMNO Sabah berdoa dan berharap agar kemelut politik di Semenanjung dapat diselesaikan secara berhemah, harmoni dan bijaksana demi kemaslahatan negara dan rakyat.

UMNO Sabah mempunyai dua ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan memperoleh majoriti 9,478 undi dalam persaingan tiga penjuru semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 14,465 undi menewaskan pencabar terdekat MA Ghazali Abdul Ghani daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang hanya memperoleh 4,987 undi.

Sementara itu, Mohamad memenangi kerusi Parlimen Kimanis semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari 2020 dengan memperoleh 2,029 majoriti.

Mohamad memperoleh 12,706 undi berbanding pencabarnya Datuk Karim Bujang daripada Warisan yang mendapat 10,677 undi.

Pada Rabu, Mohamad memaklumkan beliau kekal menyokong PN sebagaimana pendiriannya sebelum ini dan menyerahkan keputusan menentukan kedudukan Perdana Menteri pada persidangan Parlimen.

Sehingga semalam, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) ini belum meletak jawatan yang disandangnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN