Ujian saringan bersasar diperluas sementara tunggu vaksin - Utusan Malaysia

Ujian saringan bersasar diperluas sementara tunggu vaksin

HASNI Mohammad (depan, dua kanan) melekatkan Jalur Gemilang pada salah sebuah motosikal pada Program Penyerahan Jalur Gemilang di Jalan Yahya Awal, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan memperluas ujian saringan Covid-19 secara bersasar bagi membolehkan pengesanan dan pengasingan individu yang didapati positif dilakukan sementara menunggu vaksin tambahan ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Selagi tidak perluas ujian ini di lapangan, kita akan dapati kaedah memberi vaksin adalah jalan keluar. Jadi, sementara tunggu lebih banyak bekalan, kita perlu lakukan pengasingan mereka yang positif,” katanya selepas menyerahkan Jalur Gemilang secara pandu lalu di Pejabat UMNO Johor, di sini.

Hasni berkata, antara faktor peningkatan kes Covid-19 di Johor adalah berpunca daripada kawasan penempatan pekerja industri yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuat kuasa.

Sehubungan itu, katanya, usaha secara berterusan bagi meningkatkan penerima vaksin di negeri ini dilakukan, apatah lagi memperoleh sebanyak dua juta dos vaksin pada bulan ini selain akan meneruskan usaha mendapatkan bekalan itu sebanyak mungkin.

“Kita juga mempunyai jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang mencukupi dan mampu menyuntik kira-kira 70,000 dos sehari.

“Walaupun ada pihak yang tidak begitu selesa dengan jumlah vaksin yang dianggap perlu diperbanyak di Johor, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mendapatkan tambahan bekalan,” katanya.

Malah, pertukaran portfolio antara Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi tidak akan menjejaskan perancangan untuk menerima 490,000 vaksin setiap minggu.

Dalam pada itu, Hasni menjelaskan, tiada keperluan untuk PPV secara walk-in diwujudkan di negeri itu setakat ini melainkan bagi yang ingin mendapat vaksin secara berbayar.

Katanya, kerajaan negeri sudah membuat program outreach yang dilihat lebih praktikal untuk memudahkan individu mendapatkan suntikan vaksin.

“Setakat ini, belum ada perancangan, ia hanya dibenarkan untuk mereka yang bersedia mendapatkan vaksin secara pembelian yang diuruskan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor dan Hospital KPJ Healthcare Bhd.,” katanya.

Ditanya mengenai golongan yang menolak pengambilan vaksin Covid-19, Hasni berkata, pihaknya menghormati pendirian masing-masing dan tidak memaksa mana-mana pihak berbuat demikian kerana pemberian vaksin adalah secara sukarela.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menjadi punca individu berkenaan masih belum berdaftar antaranya kurang faham tentang kesahihan, matlamat serta tujuan pemberian vaksin dilakukan.

Selain itu, ada yang masih belum bersedia disebabkan kekangan seperti faktor kesihatan atau menghidap penyakit yang memerlukan rawatan awal dan khuatir pengambilan vaksin boleh memudaratkan mereka.

“Saya menjunjung kasih usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersemuka dengan wakil guru membincangkan perkara ini semalam. Jika guru-guru ini tidak divaksin, ia menyukarkan proses pembukaan semula sesi persekolahan secepat mungkin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN