PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Elia Group SA/NV (Elia) untuk kerjasama strategik perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan mendalam industri bagi mempercepat usaha TNB ke arah tenaga boleh baharu (RE) dan peralihan tenaga.
MoU dua tambah satu tahun yang dimeterai bersama satu daripada operator sistem penghantaran terbesar dan bereputasi tinggi di Eropah itu adalah yang kedua dengan Elia, selepas yang pertama pada September 2017 dan tamat pada September 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din menandatangani memorandum itu bagi pihak TNB manakala Elia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Chris Peeters.
Baharin berkata, MoU 2.0 ini dimeterai pada waktu yang amat penting selepas TNB melakukan penjajaran semula pertengahan penggal bagi memastikan kumpulan sentiasa berada pada landasan yang betul untuk menghadapi perubahan pantas dari sudut alam sekitar dan reformasi industri bekalan elektrik negara.
Jelasnya, TNB akan melabur dalam jumlah yang besar dalam bidang RE dan menetapkan fokus kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon, selaras dengan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.
“TNB menerusi Bahagian Grid akan terus memberi keutamaan terhadap pelaburan dalam memodenkan grid kebangsaan agar ia menjadi grid masa hadapan, iaitu grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan terhadap gangguan, pintar dengan teknologi digital serta fleksibel untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.
“Untuk itu, TNB berharap untuk memanfaatkan kepakaran Elia sebagai satu daripada lima operator sistem penghantaran terbaik di Eropah dengan tahap daya harap 99.999 peratus.
“Terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi oleh Elia, terutamanya bagi mencapai kejayaan dalam peralihan tenaga dari sudut tenaga boleh baharu, memandangkan TNB akan mengintegrasikan sejumlah besar RE pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
MoU baharu itu dimeterai berdasarkan MoU terdahulu, namun memberi penekanan yang lebih berstruktur terhadap usaha pelaksanaan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, merangkumi lima fokus utama iaitu kecemerlangan operasi, trend masa hadapan bagi syarikat utiliti, kerangka kawal selia, hala tuju baharu operasi sistem, dan usaha sama perniagaan.
Kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan teknikal menerusi laporan tahunan dan kajian, penyelesaian permasalahan, lawatan pembelajaran dan teknikal serta program latihan yang perlu.
Sementara itu, menurut Peeters, kedua-dua entiti ini amat komited terhadap peralihan tenaga dan sedang giat berusaha ke arah mencapai strategi pertumbuhan antarabangsa.
“Dengan saling bertukar pengetahuan, kami akan maju ke hadapan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Oleh itu, adalah bertepatan untuk kami meneruskan kerjasama ini melalui perkongsian amalan terbaik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE