PETALING JAYA: Tiada keperluan jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan ketika ini.
Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, tidak ada salahnya jika Perdana Menteri memerintah negara tanpa Timbalan Perdana Menteri walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan mahu jawatan itu dimiliki oleh ahli partinya.
“Ini bergantung kepada keperluan semasa, sama ada ia perlu atau tidak, malah tidak ada salahnya jika negara tidak mempunyai Timbalan Perdana Menteri.
“Tetapi apa yang dapat dilihat sekarang adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai beberapa kesepakatan antara pihak Bersatu dalam memilih siapa yang bakal memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, bertiup kencang desas-desus nama dua pemimpin daripada Bersatu yang bakal menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, pensyarah politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri boleh dibiarkan kosong dan hanya pelantikan Menteri Kanan dilakukan seperti mana pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Jika jawatan Timbalan Perdana Menteri akan menyebabkan perebutan dan kekusutan, lebih elok dibiarkan kosong dahulu.
“Saya kira untuk membentuk sebuah Kabinet yang harmoni dan berfungsi, beberapa faktor iaitu etnik dan agama, wilayah, ahli Parlimen parti dalam gabungan, dan juga kepakaran perlu diambil kira,” katanya.
Tambahnya, sewajarnya pada ketika ini rakyat tidak harus dibebani dengan masalah demokrasi berperwakilan kerana berlaku ahli Parlimen yang menang melalui pilihan raya lupa diri dan menggunakan hak mereka untuk kepentingan peribadi dan parti.
“Rakyat tidak mahu melihat ketidakstabilan berlaku dlm kerajaan semata-mata kerana berlaku perebutan jawatan dan menarik sokongan sesuka mereka sepanjang masa sehingga usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat dihambat oleh perebutan kuasa.
“Ini adalah suatu yang dikira agak melampau,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










