Tidak boleh dibuka sebab belum ada arahan - Utusan Malaysia

Tidak boleh dibuka sebab belum ada arahan

SUASANA lengang di medan selera sekitar Putrajaya pada hari pertama kelonggaran makan secara ‘dine-in’. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Situasi lengang beberapa medan selera utama di Putrajaya mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk apabila masih belum dibuka untuk makan secara dine-in.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kesemua kerusi dan meja masih belum disusun dan tetap diletakkan setempat di ruang sudut medan selera seolah-olah sengaja dibiarkan begitu.

Seorang peniaga di Medan Selera Presint 8 yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Salma berkata, peniaga belum lagi menerima arahan daripada pihak Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Ramai pelanggan yang datang pagi tadi pun terkejut kerana menyangka sudah boleh makan dine-in mulai hari ini tetapi kami belum dapat arahan pembukaan daripada PPj,” katanya.

Beliau bagaimanapun meminta para pelanggan agar bersabar dan menjangka pihak berkuasa tempatan itu kemungkinan akan mengeluarkan arahan pembukaan seawal-awalnya esok.

Justeru ujarnya, untuk mengelak berlaku insiden pengunjung dikenakan saman oleh penguat kuasa PPj, mereka buat masa ini hanya dibenarkan bawa balik makanan secara bungkusan.

Semalam Perdana Menteri Sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bermula hari ini penduduk di lima negeri dan dua Wilayah Persekutuan diberi kelonggaran sektor tertentu termasuk boleh makan di restoran, aktiviti sukan bukan berkumpulan tanpa sentuhan, kegiatan rekreasi selain perkhemahan dan perkelahan serta operasi pasar malam dan minggu.

Kelonggaran itu membolehkan Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya merasai kebebasan seperti Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, seorang peniaga di Medan Selera Presint 9 yang cuma mahu dirujuk sebagai Syed Kechik berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya tunggu notis pihak PPj.

“Ada ramai pelanggan yang kecewa dan hampa apabila dimaklumkan tidak boleh dine-in lagi, malah kerusi dan meja masih diikat serta tidak disusun untuk mereka makan di sini,” katanya.

Keadaan itu ujarnya, mungkin disebabkan ada beberapa insiden pengunjung yang dikuarantin di rumah dan memakai gelang pengawasan pernah berdegil datang ke medan selera tersebut.

Individu berkenaan tambahnya, sengaja enggan mengimbas aplikasi MySejahtera dari telefon bimbit dan lebih sanggup menulis nama pada buku yang disediakan dengan memakai baju berlengan panjang.

Peniaga di situ juga bimbang ada individu belum lengkap dua dos vaksin yang mungkin mengambil kesempatan cuba menipu untuk makan dine-in dan bukannya bungkus dibawa balik.

“PPj mungkin kena lebih tegas saring pengunjung dan kita tidak mahu Putrajaya terus catat lonjakan kes baharu Covid-19 akibat perbuatan mereka tidak bertanggungjawab ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN