PETALING JAYA: Semakan tarif perkhidmatan pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) wajar dipertimbangkan secara teliti bagi mengimbangi kos penyelenggaraan aset lama, peningkatan tarif elektrik dan kemunculan ancaman baharu jenayah alam sekitar yang lebih rencam.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak mula beroperasi pada 1994, tarif perkhidmatan pembetungan kepada pengguna masih kekal sama dan tidak pernah disemak semula.
“Peningkatan kualiti perkhidmatan akan memberi kesan kepada kos operasi IWK. Secara realiti, purata kos penyelenggaraan sistem pembetungan bagi setiap premis bersambung adalah kira-kira RM17 sebulan berbanding tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM8 sebulan.
“Justeru, IWK memerlukan sumber kewangan yang stabil melalui pelan operasi perniagaan yang mampan di samping bantuan kewangan daripada kerajaan. Kelestarian sumber air dan kesihatan awam sangat bergantung kepada keupayaan kewangan IWK dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dengan IWK secara maya, semalam.
Perjanjian tambahan untuk tempoh 12 tahun sehingga 31 Disember 2034 itu ditandatangani antara Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Tuan Ibrahim memaklumkan, perjanjian tambahan terhadap syarikat pembetungan nasional milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) itu merangkumi pelaksanaan aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif oleh IWK termasuk penghasilan air pulih guna daripada bi-produk pembetungan agar dapat dibekalkan kepada industri sebagai sumber air alternatif.
Ujarnya, ia turut membolehkan IWK meneroka pelbagai potensi perniagaan lain berkaitan perkhidmatan pembetungan seperti penggunaan baja bagi tumbuhan bukan makanan dan pajakan kecil tanah pembetungan untuk sewaan kepada menara telekomunikasi, penghasilan tenaga solar atau kabel fiber optik.
“Saya optimis pelaksanaan alternatif aktiviti perniagaan bukan berasaskan tarif dan cadangan penetapan semula caj pembetungan ini akan memberi ruang lebih terbuka kepada IWK untuk tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan tetapi masih berupaya memastikan sistem pembetungan awam terus berada dalam keadaan yang baik dan cekap.
“Kita akur wabak yang melanda telah mendorong kita untuk terus berinovasi berasaskan kepada ekonomi hijau yang bukan sahaja memangkin pertumbuhan ekonomi malah menjadi antara jalan keluar untuk menangani wabak menerusi norma baharu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










