Syabas The Pocket Rocketman, terima kasih Shah Firdaus! - PM - Utusan Malaysia

Syabas The Pocket Rocketman, terima kasih Shah Firdaus! – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kejayaan jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan Sukan Olimpik Tokyo melabuhkan tirainya.

Perdana Menteri berkata, biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar menerusi acara Keirin basikal trek tentunya memberi makna cukup signifikan buat jaguh itu dan negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.

“Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin pada masa sama berterima kasih kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom, walaupun gagal mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangatnya.

Beliau berkata, iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan wira yang perlu disanjungi.

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini. Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!,” katanya.

‘The Pocket Rocketman’ menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menduduki tempat kedua perlumbaan final acara keirin di Velodrom Izu.

Pelumba Great Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.

Untuk rekod, Azizulhasni, 33, sebelum ini pernah meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Shah Firdaus pula menamatkan perlumbaan kedua suku akhir dengan berada di tempat keenam daripada enam pelumba, kurang 24 jam selepas mengalami kemalangan bersama pelumba Great Britain, Jack Carlin.

Pelumba berusia 25 tahun itu bagaimanapun tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam perlumbaan namun perjalanan di temasya Sukan Olimpik sulungnya itu terhenti di suku akhir.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN