SPAN 2.0 tambah baik jentera awam, bantuan psikologi secara digital - Utusan Malaysia

SPAN 2.0 tambah baik jentera awam, bantuan psikologi secara digital

MOHD. KHAIRUL ADIB Abd. Rahman ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JPA secara maya di Putrajaya hari ini. – Foto ihsan JPA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melancarkan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) yang bakal menambah baik pengurusan jentera kerajaan secara lebih luas.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, versi baharu itu memberi tumpuan kepada tiga komponen utama dengan lima pengukuran.

“Ia akan fokus kepada pengurusan program nilai, pengauditan nilai dan intervensi, manakala domain pengukuran akan melibatkan tahap pengamalan nilai perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan SPAN 2.0 pada Perhimpunan Bulanan JPA dengan tema ‘Mengukuh Daya Tahan, Mendepani Ketidaktentuan’ secara maya di sini hari ini.

SPAN sebenarnya ujar beliau sudah lama dibangunkan pihak JPA bermula pada 2007 lalu dan setelah 15 tahun, sistem itu memerlukan pelarasan sejajar perkembangan semasa dengan kaedah pengukuran diperkenalkan mengandungi lima kaedah berbeza iaitu rekod amalan nilai, nilai ideal, nilai peribadi, nilai organisasi dan maklum balas pelanggan.

“Pendek kata, SPAN 2.0 telah ditambah baik dengan menetapkan agar semua kementerian, jabatan dan agensi melaksanakan pengurusan amalan nilai secara lebih holistik,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd. Khairul Adib menaruh keyakinan tinggi, sistem terkini berkenaan bakal meningkatkan lagi tahap pengamalan nilai dan integriti di peringkat individu dan organisasi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penjawat awam yang mengalami tekanan ketika bertugas ekoran kesan kebimbangan dan ketakutan daripada risiko penularan wabak Covid-19, segera mendapatkan bantuan sokongan psikologi yang ada ditawarkan kerajaan terutama jika menghadapi kesulitan dalam menguruskan perubahan norma baharu.

“Bagi tujuan ini, pihak kerajaan sebenarnya memang ada menyediakan perkhidmatan psikologi di semua kementerian dan jabatan, malahan boleh diakses secara digital sekali gus membolehkan penjawat awam sama ada berkhidmat di pejabat atau rumah, dapat berdepan dengan tekanan kehidupan dan peka menyesuaikan cara gaya hidup sendiri,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan kakitangan yang belum mendaftar untuk program vaksinasi, supaya tidak lengah dan segera berbuat demikian demi melindungi diri dan masyarakat dan semua petugas bertanggungjawab memberi penerangan betul terhadap kepentingan imunisasi dalam memastikan negara mencapai imuniti berkelompok lebih awal. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya