SUNGAI PETANI: Polis menahan sembilan lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian merusuh bersenjatakan kayu di dua lokasi iaitu di Taman Ria dan kawasan Flat Paya Nahu di sini semalam.
Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 27 tahun itu ditahan polis di tempat kejadian kedua iaitu di kawasan flat tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian pertama berlaku di kawasan padang di Taman Ria pada pukul 7.15 malam ketika pengadu menghantar cecair vape kepada seorang rakannya.
Katanya, bagaimanapun berlaku perselisihan faham antara mereka menyebabkan mangsa dipukul oleh enam hingga tujuh orang suspek.
“Susulan kejadian pertama itu, abang pengadu bersama beberapa orang rakannya telah pergi ke kawasan Flat Paya Nahu pada pukul 11 malam hari yang sama untuk berjumpa dengan suspek bagi berbincang dan menyelesaikan masalah kejadian pertama.
“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, berlaku pula perselisihan faham antara abang mangsa dan suspek sehingga berlaku kekerasan dan mengakibatkan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur kongsi gelap atau perkauman dalam kejadian itu dan hanya berpunca dakibat perselisihan faham antara individu.
“Polis kini masih dalam usaha untuk mengesan saki baki suspek yang masih bebas manakala semua suspek yang ditahan direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 kanun keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan. -UTUSAN ONLINE