KUALA LUMPUR: Usul undi percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diteruskan di Parlimen meskipun beliau mempunyai kuasa untuk tidak melaksanakannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu akan melancarkan sistem tadbir urus kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri tanpa dipersoal sokongan terhadapnya oleh mana-mana pihak.
“Apabila Ismail Sabri meneruskan usul undi percaya, ia dapat mengetepikan isu keabsahan dan itulah langkah yang sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Yassin lakukan dahulu, tetapi beliau tidak buat. Maka isu tersebut membelenggu pentadbirannya.
“Bagi mengelakkan Ismail Sabri terkena badi sama, maka wajar Ismail Sabri menuruti apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong untuk membawa usul undi percaya ke Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Perdana Menteri baharu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.
Bagaimanapun, kuasa untuk memutuskan sama ada ingin membuat usul undi percaya atau tidak adalah bergantung pada kuasa Perdana Menteri selaku Ketua Majlis.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Pakatan Harapan (PH) terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sekiranya kerajaan melaksanakan program prorakyat.
“Walaupun masa singkat, ada beberapa perkara yang boleh diusahakan dengan segera. Ia semua berkaitan rakyat. Kalau ada kesungguhan untuk melaksanakan beberapa reformasi yang dipersetujui, makan PH tidak akan menyulitkan keadaan tentang usul undi percaya itu,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE










