Petani termenung hasil sayur tidak pulang modal - Utusan Malaysia

Petani termenung hasil sayur tidak pulang modal

MOHD. Arie Faie Jusoh memeriksa tanaman di kebun sayur yang diusahakan di Kampung Chenderong Batu, Tumpat baru-baru ini. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Modal dibelanjakan bagi mengusahakan 1.2 hektar tanah dengan pelbagai jenis sayur di Kampung Chenderong Batu, di sini mencecah RM30,000, namun hasil yang dikutip setakat ini hanya kira-kira RM15,000.

Seorang petani, Mohd. Arie Faie Jusoh, 35, mengakui termenung panjang memikirkan usahanya yang tidak pulang modal itu, ekoran pasaran sayur yang terlalu perlahan di negeri ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, petani muda itu berkata, dia sebenarnya baru berjinak-jinak dengan penanaman pelbagai sayur-sayuran seperti terung, peria, lada hijau dan cili di atas sebidang tanah yang disewa sejak setahun lalu.

“Saya mengusahakan sawah padi selama kira-kira lima tahun sebelum membuat keputusan beralih kepada penanaman sayur kerana sering berdepan masalah bekalan air tidak mencukupi untuk mengairi sawah.

“Dengan wang RM30,000 diperoleh menerusi pinjaman bank, saya sewa sebidang tanah seluas lebih kurang 1.2 hektar dengan bayaran RM700 setahun dan mula mengusahakan tanaman sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Arie Faie berkata, dia bersyukur kesemua tanaman tersebut menjadi dan mengeluarkan hasil yang banyak dalam tempoh 30 hingga 75 hari, bergantung kepada jenis tanaman namun masalah lain pula timbul iaitu kesukaran memasarkannya.

“Sekarang berlaku lambakan terung, lada hijau, cili dan peria kerana ada kalangan pemborong tidak dapat membelinya disebabkan kedai makan masih tidak dapat beroperasi dalam skala penuh,” katanya.

Kata Mohd. Arie Faie, ketika ini, hanya pasar borong Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di Kota Bharu menjadi satu-satunya lokasi dia memasarkan sayur-sayuran dari kebun yang diusahakan.

“Alhamdulillah baru-baru ini masalah saya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdullah yang membeli hasil kebun saya untuk diagihkan kepada penduduk menerusi program Gerobok Sayur.

“Saya berharap pihak lebih banyak pihak tampil membantu petani dalam usaha mengelak lambakan sayuran daripada berterusan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN