Pesakit barah usus rayu bantuan beg stoma - Utusan Malaysia

Pesakit barah usus rayu bantuan beg stoma

MOHD. Suhairul Safie ditemani isterinya, Noor Shazila (dua dari kanan) menunjukkan beg stoma perlu dipakainya sebanyak dua keping sambil diperhatikan Zaiton (tiga, kanan) sewaktu kunjungan PAAR terhadap suami isteri tersebut di Taman Sri Rembau, Rembau, baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang pesakit barah usus tahap empat merayu kepada Baitulmal mahupun mana-mana pihak yang berkemampuan bagi membantunya membeli beg stoma.

Mohd. Suhairul Safie, 37, berkata, penggunaan beg stoma kini meningkat sekali ganda susulan terdapat lubang baharu yang muncul sendiri di perutnya selain bahagian yang ditebuk pada tahun 2019.

Menurutnya, dia ada menerima bantuan pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM1,000 sebulan. namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluannya.

“Sejak saya sakit hanya isteri, Noor Shazila Shaharudin, 36, yang bekerja sebagai kerani di pejabat kerajaan dan menggalas tugas saya sebagai ketua keluarga.

“Dengan gaji isteri, kami membayar ansuran kereta, upah pengasuh anak dan memenuhi keperluan tiga orang anak yang masih kecil iaitu berusia tiga hingga lapan tahun,” katanya ketika ditemui sewaktu kunjungan Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR) di Taman Sri Rembau, di sini, baru-baru ini.

Mohd. Suhairul berkata, mujur kediaman yang mereka duduki kini merupakan kediaman keluarga yang sedikit sebanyak membantu urusan kehidupan mereka.

Bagaimanapun, menurutnya, sepanjang mengalami penyakit berkenaan, inilah kali pertama dia nekad untuk memohon bantuan bagi keperluan beg stoma yang mencecah lebih RM300 sebulan.

Sementara itu, Pengasas PAAR, Zaiton Othman berkata, pihaknya sebelum ini telah menghulurkan bantuan beg stoma kepada Mohd. Suhairul.

“Kami berharap agar pesakit kanser ini akan mendapat bantuan bagi beg stoma berkenaan secara tetap setiap bulan memandangkan keperluan tersebut menelan belanja yang agak tinggi,” katanya.- UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN