Perak terima lebih 1 juta dos vaksin pada Ogos - Utusan Malaysia

Perak terima lebih 1 juta dos vaksin pada Ogos

SAARANI Mohamad (kanan) mendengar taklimat mengenai PKPD yang dikuatkuasakan di Taman Meru 2B di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kadar vaksinasi Covid-19 di Perak dijangka meningkat selepas kerajaan negeri dijadualkan menerima 1,023,924 dos vaksin pada bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, bekalan vaksin tersebut akan diterima secara berperingkat di mana sebanyak 150,720 dos telah diperoleh setakat ini.

Jelas beliau, sekiranya bekalan vaksin itu tiba seperti dijadualkan, ia akan menjadi jumlah vaksin tertinggi diterima negeri ini berbanding 824,320 dos pada bulan lalu.

“Jika jumlah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Perak mampu mencapai syarat ketiga nilai ambang iaitu kadar vaksinasi Covid-19 mencecah 40 peratus menjelang bulan September untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, faktor jumlah kes harian perlu diambil kira kerana untuk memasuki Fasa Tiga PPN, jumlah kes harian mesti di bawah angka 300 kes bagi tujuh hari berturut-turut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Taman Meru 2B di sini hari ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Saarani berkata, program vaksinasi di Perak turut merekodkan pencapaian yang signifikan sepanjang minggu ini apabila jumlah suntikan harian menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

Jelasnya, ini dapat dilihat apabila Perak merekodkan 31,923 suntikan harian pada 9 Ogos lalu di mana jumlah itu bertambah menjadi 36,585 suntikan pada 11 Ogos lalu.

“Kadar vaksinasi juga terus meningkat sehingga 39,703 pada 12 Ogos lalu iaitu kadar suntikan harian tertinggi setakat ini.

“Sehingga semalam, seramai 982,784 atau 52.76 peratus penduduk yang berusia 18 tahun ke atas telah menerima suntikan pertama manakala 630,240 atau 33.84 peratus pula mendapat suntikan dos kedua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN