MARAN: Seorang anak peneroka di Felda Seri Pagi Jengka 17 di sini melukis potret Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin sebagai tribute kepada pelawak, Shuib Sepahtu yang kehilangan isteri tersayang.
Potret tersebut juga sebagai gambaran minat Mohamad Amir Ridzuan Abdul Samad, 22, terhadap penampilan dan suara merdu penyanyi kecil molek itu.
Mohamad Amir Ridzuan yang juga penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang Seni Bina Landskap berkata, dia tidak menyangka potret Siti Sarah yang dimuatnaik di laman Instagramnya, Amirridzuan_ dan tiktok mendapat perhatian ramai.
“Ramai yang memuji lukisan saya itu dan sanggup membelinya tetapi saya bercadang menghadiahkan kepada Shuib pada satu hari nanti.
“Sebagai penyanyi, Allahyarhamah Siti Sarah sangat istimewa kerana mendapat perhatian semua golongan termasuk kerabat diraja, alim ulama dan pelajar sekolah pondok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohamad Amir Ridzuan berkata, dia meminati lagu nyanyian Siti Sarah antaranya seperti Kesetiaan, Sandarkan Pada Kenangan, Semakin Benci Semakin Cinta, Terakhir Buat Teman dan Saat Hilang Cintaku.
“Lagu-lagu itu trending di twitter dan youtube mencetuskan ilham kepada saya melukis potret Siti Sarah sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Menyorot bakat melukisnya, beliau berkata, bakatnya mula dikesan oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18, Maran ketika mengambil subjek pelajaran Pendidikan Seni sebagai pilihan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bakat semulajadi melukis potret seolah-olah ‘hidup’ menarik perhatian guru dan rakan-rakan sebaya yang meminta saya melukis potret mereka.
“Dengan menggunakan tangan kiri saya banyak melukis gambar rakan-rakan-rakan dan guru-guru sebagai kenangan tanpa sebarang bayaran,” katanya.
Beliau berkata, pada musim pandemik Covid-19 ketika ini, dia banyak menghabiskan masa melukis potret di rumah berikutan sesi pembelajaran bersemuka di universiti ditangguhkan kira-kira setahun lalu. – UTUSAN ONLINE










