Penduduk Bera bangga, bersyukur pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Penduduk Bera bangga, bersyukur pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri

Omar Hussien
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Penantian penduduk daerah ini untuk melihat ahli Parlimen mereka diangkat sebagai Perdana Menteri akhirnya menjadi kenyataan.

Peneroka Felda Tementi, Anuar Abdul Rahman, 57, berkata, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob layak berdasarkan rekod perkhidmatan dalam kementerian yang diterajuinya sebelum ini.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana Ahli Parlimen Bera diangkat sebagai Perdana Menteri, kita yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab berkenaan,” katanya di sini semalam.

Generasi kedua Felda di situ, Rosli Abu Kassim, 45, bersyukur tokoh politik berwibawa dari negeri ini khususnya Bera diangkat sebagai Perdana Menteri baharu untuk tanah air tercinta ini.

“Saya optimis Ismail Sabri bukan calang-calang tokoh kerana mendapat perkenan institusi diraja dan rakan-rakan politik dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Ketua Peneroka Felda Sebertak, Omar Hussein, 60, berharap tiada lagi unsur-unsur perangai ketam dalam kalangan pemimpin politik tetapi semuanya bersatu untuk memakmurkan negara.

Beliau berkata, sekarang bukan masa untuk bertelagah kerana tenaga diperlukan bagi memulihkan kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan.

“Ini kerana rakyat sudah penat mengharungi cabaran berat wabak Covid-19 hingga ada membunuh diri akibat tekanan hidup,” katanya.

Seorang penduduk, Othman Tawang, 81, dari Kampung Bohor Baru berasa yakin melalui kepimpinan Ismail Sabri negara dan Bera terus makmur dan maju.

Tegasnya, rakyat di akar umbi mahukan pengurusan negara dapat ditadbir dengan baik, cekap dan setiap janji ditunaikan.

Peneroka Felda Triang 1, Mohd. Sayuti Zakaria, 58, turut teruja wakil rakyat kawasan itu diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Penduduk Bera memang mengkagumi kepimpinan Ismail Sabri berdasarkan rekod beliau memajukan daerah ini dalam tempoh singkat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×