KOTA KINABALU: Berita pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikthiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Lajim Ukin,66, mendapat perhatian pemimpin politik negara.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi hantaran Facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga Lajim yang telah meninggal dunia sebentar tadi.
“Semoga Allah SWT ampuni dosanya dan tempatkan roh bersama yang beriman. Al-Fatihah,” katanya ringkas.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Lajim Ukin menerusi hantaran dalam media sosialnya.
“Saya turut bersedih dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran Facebooknya menyatakan negara kehilangan seorang tokoh masyarakat yang sangat berjasa bagi negara khususnya negeri Sabah.
“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Sabah pada pukul 6.23 pagi.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham amat besar nilai dan maknanya untuk negeri dan negara. Antara tanggungjawab yang pernah beliau laksanakan adalah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia,” katanya.
Lajim juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias dan Ahli Parlimen Beaufort.
Turut mengucapkan takziah ialah bekas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman. Beliau sekali lagi dimaklumkan berita sedih dengan pemergian Lajim Ukin yang baharu sahaja menghembuskan nafas terakhir di Hospital KPJ Sabah.
“Semoga Allah SWT mengampuni Allahyarham dan memasukkannya dalam kalangan para solihin.Saya sekeluarga mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Marilah kita sama-sama membaca Al-Fatihah buat Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran dalam media sosial sebentar tadi.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut memuat naik ucapan takziah dan mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah dan redha dengan dugaan ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah kepada Allahyarham menerusi laman media sosial adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun serta beberapa pemimpin tempatan Sabah yang lain.
Allahyarham Lajim meninggal dunia pada 6.23 pagi tadi di Hospital Pakar KPJ Sabah dekat sini akibat jangkitan Covid-19. Beliau disahkan positif pada 12 Ogos dan mula ‘ditidurkan’ pada 24 Ogos lalu setelah keadaan kesihatannya semakin menurun. -UTUSAN ONLINE










