ALOR SETAR: Golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di penempatan Bukit Malut, Langkawi diberi jaminan tidak ditangkap sekiranya mereka keluar daripada ‘penyembunyian’ masing-masing untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan suntikan vaksin.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu bagi memastikan semua pihak di kawasan tersebut yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dapat memperoleh suntikan vaksin bagi mengawal penularan wabak tersebut.
“Dalam keadaan sekarang, semua orang harus disuntik dengan vaksin. Kalau bukan warganegara ini tidak diberikan vaksin, nanti mereka jadi pembawa Covid-19 pula dan orang kita juga yang berada dalam keadaan bahaya serta mungkin dijangkiti.
“Namun, saya fikir, tentu mereka ada rasa bimbang kalau-kalau ditangkap sewaktu keluar untuk mendapatkan vaksin. Maka, saya beri jaminan yang mereka takkan ditangkap jika keluar untuk tujuan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco secara dalam talian di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kawasan tersebut ibarat bom jangka yang boleh meletuskan penularan Covid-19 di pulau peranginan tersebut.
Menurut laporan tersebut, kebanyakan penduduk di penempatan itu didakwa tidak memberi kerjasama dalam mengesan kontak rapat bagi mengelakkan wabak tersebut daripada terus menular.
Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, sebelum ini beliau ada menerima panggilan daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu pemberian vaksin di Bukit Malut.
“Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, beliau menerima maklumat menyatakan kerajaan negeri tidak memberi vaksin kepada penduduk Bukit Malut. Saya kemudiannya menyatakan kepada beliau bahawah maklumat itu tidak benar.
“Kita malah menyediakan pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak di kawasan itu dan Pulau Tuba bagi memastikan semua rakyat yang tinggal dalam kawasan berkenaan, menerima suntikan vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE










