Parti liar dinihari diserbu, 17 ditahan - Utusan Malaysia

Parti liar dinihari diserbu, 17 ditahan

ANGGOTA polis yang menyerbu parti liar di sebuah kondominium di Lumut hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Keseronokan 17 individu termasuk seorang wanita warga asing mengadakan parti liar di sebuah kondominium di sini membawa padah apabila ditahan dalam serbuan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam serbuan pada pukul 1.15 pagi itu, sembilan lelaki dan lapan perempuan berusia 19 hingga 48 tahun didapati sedang menganjurkan parti tersebut.

“Pasukan Task Force Op Covid dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis  Daerah (IPD) Manjung yang melakukan pemeriksaan itu kemudian membawa semua individu itu ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut.

“Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati tiga lelaki dan dua perempuan dikesan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nor Omar, mereka yang positif dadah itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, katanya, 16 individu terlibat dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana menganjurkan aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021.

Sementara, seorang wanita warganegara Indonesia berumur 35 tahun turut ditangkap di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963.

Jelas Nor Omar, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang ramai yang curiga dengan kelibat semua individu tersebut.

“Siasatan awal mendapati kondominium tersebut disewa pada harga RM350 semalam dan disewa untuk sehari semalam.

“Parti itu dianjurkan oleh seorang wanita yang mengundang individu dikenali melalui WhatsApp dan individu tersebut mengajak rakannya dan rakannya itu kemudian membawa pula rakan lain ke parti berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.