Pantai Klebang kini lubuk rezeki rakyat - Utusan Malaysia

Pantai Klebang kini lubuk rezeki rakyat

AFIZAM Talib (kanan) bersama Fairoz Aznizam Ahmad dan Ridzuan Sahran meraikan kejayaan menaikkan ikan pari seberat 12KG di Pantai Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pantai Klebang di sini tiba-tiba bertukar menjadi lubuk rezeki penduduk yang berkunjung ke situ.

Selepas dikejutkan dengan peristiwa ribuan siput sedut ditemukan di pantai berkenaan minggu lalu, terbaharu seorang juru kimpal yang memancing tidak jauh daripada kawasan itu pula berjaya menaikkan ikan pari seberat 12 kilogram (kg).

Afizam Talib, 41, berkata, dia bersama tiga rakannya turun memancing selepas hampir dua bulan terkurung di rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

AFIZAM Talib bersama ikan pari seberat 12 kg. yang berjaya dinaikkan di Pantai Klebang, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

“Bila dapat tahu pantai Klebang seperti pesta orang mencari remis dan lala, saya ajak kawan-kawan memancing tidak jauh dari situ.

“Lebih kurang pukul 4.00 petang saya turun memancing dan tidak sampai setengah jam, pancing yang berumpan anak ikan bulus berjaya disentap pemangsa.

“Tak tahu ikan apa, tapi saya bertarung hampir setengah jam dan terkejut apabila berjaya menaikkan pari seberat 12 kg. Alhamdulillah rezeki saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, menaikkan ikan pari seberat itu dengan pancing benar-benar mengujakan, khususnya kepada kaki joran sepertinya.

“Lebih kurang dua bulan tidak dapat keluar memancing sejak PKP, tetapi apabila kerajaan memberi kelonggaran, peluang itu digunakan selepas terkurung begitu lama.

“Pari itu saya tidak jual, tapi saya agih-agihkan kepada tiga rakan yang sama-sama turun memancing,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN