Orang ramai bersesak di PPV SICC - Utusan Malaysia

Orang ramai bersesak di PPV SICC

Gambar tular menunjukkan kesesakan orang ramai di PPV SICC di Kota Kinabalu.-SUMBER MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kebenaran pemberian vaksin secara walk-in di Sabah sejak 12 Ogos lalu mengundang kesesakan luar biasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Berdasarkan gambar dan video tular yang dimuat naik dalam media sosial memperlihatkan orang ramai beratur panjang bagi menunggu giliran untuk divaksin. Video tular itu menunjukkan orang ramai berdiri terlalu rapat tanpa menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Berdasarkan gambar tular itu, orang ramai dilihat beratur dari laluan utama sehingga ke pekarangan masuk ke bangunan SICC sejak 8 pagi tadi.

Difahamkan pasukan pemantau dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut turun ke lokasi PPV tersebut bagi mengawal situasi.

Kehadiran polis dengan menggunakan dua buah lori menyebabkan orang ramai mula bersurai dan meninggalkan pekarangan PPV SICC.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong menyatakan kebenaran vaksin secara walk-in tanpa disusuli dengan kawalan keselamatan yang ketat akan mengundang risiko jangkitan wabak Covid-19.

Jelas beliau, pengumuman Datuk Seri Masidi Manjun bahawa warga Malaysia dan warga asing dibenarkan untuk walk-in ke PPV bagi mendapatkan suntikan vaksin agak membimbangkan.

Maka, Junz mencadangkan PPV yang boleh walk-in dengan PPV yang tidak boleh, perlu diasingkan bagi memudahkan urusan semua pihak termasuk petugas kesihatan.

“Saya rasa idea walk-in ini adalah baik tapi, ia perlu dilaksana secara teratur dengan SOP yang ketat bagi mengelakkan malapetaka berlaku jika ribuan orang bersesak-sesak di satu-satu tempat,” katanya. UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN