Murid berkebun elak rasa bosan - Utusan Malaysia

Murid berkebun elak rasa bosan

AFIQ Aryan Rosman menunjukkan sayur kangkung yang ditanamnya ketika ditemui di Slim River. - UTUSAN/ MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seorang murid prasekolah di Slim River dekat sini mengisi masa terluang semasa tidak dapat bersekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

Muhammad Afiq Aryan Rosman, 6, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, Slim River dekat sini berkata, dia minat untuk berkebun selepas melihat bapanya menanam bercucuk tanam di belakang rumah.

Katanya, disebabkan tidak ke sekolah dan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dia mempunyai banyak masa.

“Saya tengok ayah tanam sayur dan dia sibuk dengan kerjanya itu, jadi saya mula belajar daripadanya macam mana nak tanam sayur dan terus saya suka.

“Apabila tanam sayur, saya tidak rasa bosan lagi dan bila ada masa saya tengok sayur saya dan kemudian saya main basikal di kawasan rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Slim Permata, di sini.

Ditanya sama ada hobi itu mengganggu pelajarannya, Afiq Aryan berkata, dia akan ke kebun sebelum atau selepas mengikuti PdPR.

Katanya, setiap pagi sebelum PdPR, dia akan ke belakang rumah untuk menanam dan menyiram sayur bagi memastikan tanamannya tidak rosak atau mati.

“Sebelah petang pula saya akan berbasikal dahulu untuk hilangkan rasa bosan dan kemudian baru ke kebun untuk melihat apa yang boleh dibuat.

“Bila kangkung sudah besar saya akan ambil untuk kami makan dan beri kepada jiran-jiran dengan menghantar menaiki basikal,” katanya.

Afiq Aryan berkata, apabila batas tanaman belakang rumahnya mempunyai ruang kosong, dia akan merendam biji benih semalaman sebelum ditanam.

“Saya rasa seronok dapat tanam sayur di belakang rumah, walaupun tangan kotor dengan tanah ketika menanam pokok namun ayah dan ibu tidak marah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN