MELAKA: Kerajaan negeri komited untuk terus mengukuhkan muafakat, dan kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau yakin pelantikan itu bukan sekadar memberi semangat dan harapan, malah, sinar kekuatan baharu kepada seluruh rakyat dalam mengharungi rintangan khususnya berkaitan pengurusan kesihatan, ekonomi dan kestabilan negara.
Katanya lagi, ia demi memberi manfaat bersama dan membina sebuah negara yang makmur, membangun serta ekonomi yang mapan.
“Saya bersama seluruh kepemimpinan kerajaan negeri dan rakyat mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ismail Sabri atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.
“Saya berharap pentadbiran Perdana Menteri akan terus berjalan lancar, teguh pada landasan yang benar terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.
“Selain itu, pelantikan ini dapat merapatkan kembali saf muafakat setiap parti politik untuk turut sama berganding erat bukan sahaja untuk memulihkan ekonomi, malah dalam memacu kegemilangan serta menjunjung maruah negara di persada antarabangsa. Lakukanlah yang terbaik demi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.
Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok pukul 2.30 petang, di lstana Negara, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin telah menyembah maklum surat perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan. -UTUSAN ONLINE










