Mazlan Naib Canselor UMT yang baharu, azam naikkan ranking universiti - Utusan Malaysia

Mazlan Naib Canselor UMT yang baharu, azam naikkan ranking universiti

PROF DR. MAZLAN ABD. GHAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar yang dilantik naib canselor universiti berkenaan berkuat kuasa esok, berazam menaikkan ranking universiti berkenaan ke kedudukan yang lebih baik terutama dalam kalangan  institusi pengajian itnggi (IPT) Asia.

Memberitahu Utusan Online, Mazlan, 59, berkata, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan kerajaan Malaysia dan dengan rendah diri menerima jawatan tersebut serta berjanji akan menunaikan tanggungjawab tersebut dengan sebaiknya.

PROF DR. MAZLAN ABD. GHAFFAR

“Ketika ini UMT berada dalam kedudukan 195 universiti terbaik Asia dan kita mahu ke kedudukan baik daripada itu, ” ujarnya.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar yang menerajui UMT selama enam tahun sejak tahun 2015.  

Mazlan, 59,  berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). 

Noraini berkata, Mazlan memiliki Ijazah Sarjana Sains (Pesisir Topikal) daripada University Of Newcastle, England dan memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Biologi dan Ekofisiologi Persekitaran Ikan) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom.  

Beliau memberitahu, bersesuaian dengan portfolio dalam bidang penyelidikan dan inovasi, Mazlan juga menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi dan juga telah membantu UMT dalam peningkatan ranking dan rating universiti pantai timur tersebut.

“Antara lainnya ialah pengiktirafan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT sebagai  Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (Hicoe) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi dan mengetuai projek khas Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) hasil kerjasama dengan beberapa buah universiti awam iaitu Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia dan mewujudkan dana khas penyelidikan UMT berjumlah RM3.5 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, Mazlan turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT dengan matlamat utama mengenal pasti penyelidikan berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan. 

“Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020.

Semasa menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Mazlan (tengah) banyak membantu menaikkan nama AKUATROP sebagai institusi penyelidikan perikanan yang unggul termasuk mengadakan kerjasama dengan pihak swasta.

 

“Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society,” katanya. 

Dalam pada itu, Noraini berkata,  dengan visi untuk meneraju UMT sebagai universiti berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama sains marin, beliau percaya Mazlan mampu menggalas tanggunjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT. 

Pada masa sama, Noraini turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Nor Aieni atas segala jasa bakti beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS) yang mewakili Pegawai Pengurusan dan Profesional (Pentadbir Profesional) UMT mengucapkan sekalung tahniah atas pelantikan Dr. Mazlan sebagai Naib Canselor UMT yang ke-5 bagi menggantikan Dr Nor Aeini yang telah tamat tempoh pada April lalu.

“Sesungguhnya pelantikan ini amat bermakna dan bertepatan dengan bidang tujahan UMT. Berita ini adalah hadiah terbesar dan paling bermakna buat UMT lebih-lebih lagi UMT sedang menyambut Ulang Tahun Penubuhan Ke-20 pada tahun ini.

Hasil tinjauan sebentar tadi, rata-rata warga UMT di semua peringkat sangat bergembira dan menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh menteri hari ini, ” ujarnya.

WAN MOHD. WAZIR WAN ABDUL WAHAB

Beliau berkata,  PERENTAS bersama-sama warga UMT lain berjanji akan memberikan kerjasama yang terbaik dan akan terus menyokong semua usaha dan perancangan yang bakal dilaksanakan kelak.

“Kami berdoa semoga UMT terus menjadi sebuah universiti yang tersohor di Malaysia di bawah pimpinan yang baharu, ” ujar beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)

Dengan pengisian jawatan tersebut, dua kekosongan  Naib Canselor belum diisi iaitu Universiti Sultan Zainal Abdin (Unisza) yang juga jiran UMT dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).- UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya