Masjid di Negeri Sembilan dibuka terhad 50 jemaah - Utusan Malaysia

Masjid di Negeri Sembilan dibuka terhad 50 jemaah

AMINUDDIN Harun (kiri) ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021M dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online yang diadakah secara dalam talian hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi untuk masyarakat awam bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun kehadiran jemaah adalah terhad kepada 50 atau 30 orang jemaah yang terawal, termasuk pegawai dan ahli jawatan kuasa masjid serta petugas keselamatan dan sukarelawan.

Ujar beliau, perkara itu juga setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan mendapat nasihat serta pandangan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan dan Jabatan Kesihatan negeri.

“Senarai masjid dan surau Jumaat yang dibenarkan mengikut had jemaah boleh dirujuk melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Jemaah yang hadir hendaklah melepasi tempoh 14 hari setelah menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya.

Aminuddin berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1443H/2021M dan Pelancaran Hijrah Merdeka Online yang diadakah secara dalam talian hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19 antaranya aktiviti solat dibenarkan di masjid dan surau.

Ia bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap dan terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, sempena bulan Muharam tahun ini yang berada dalam bulan kebangsaan, kerajaan negeri melalui JHEAINS telah menyusun lebih daripada 80 program sepanjang bulan Ogos ini.

Ujar beliau, program yang dinamakan Hijrah Merdeka Online 2021 itu antaranya merangkumi program pengisian ilmu, pertandingan nasyid dan berzanji, pertandingan ilmiah, pertandingan bakat kreatif dan juga e-sport.

“Saya mengajak masyarakat tidak mengira kaum dan agama dapat bersama-sama menyertai program-program yang telah disusun. Hal ini secara tidak langsung mampu menunjukkan rasa semangat patriotisme walaupun kita dalam keadaan keterbatasan akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

“Selain itu, JHEAINS juga menganjurkan kempen sumbangan ikhlas kepada Tabung Sukarelawan Masjid (Sukmas) di bawah kelolaan Masjid Negeri sepanjang bulan Ogos ini dengan sasaran sumbangan adalah sebanyak RM1 juta yang akan digunakan untuk menyediakan barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama,” kata Aminuddin lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya