Masing-masing dakwa cukup sokongan - Utusan Malaysia

Masing-masing dakwa cukup sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun tempoh menghantar nama calon Perdana Menteri berakhir pada pukul 4 petang ini, namun terdapat parti politik secara terbuka menyatakan sokongan kepada ahli Parlimen tertentu untuk diberikan kepercayaan menyandang jawatan tersebut.

Misalnya Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 42 ahli Parlimen manakala Pas pula dengan 18 anggota Dewan Rakyat menyatakan pendirian sokongan kepada ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Eddin Syazlee Shith memaklumkan 31 ahli Parlimennya telah diarahkan oleh Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.

Selain itu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 ahli Parlimen secara prinsipnya menyatakan menyokong Ismail Sabri.

Selain itu, Pakatan Harapan (PH) juga memaklumkan 105 ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan hanya kekurangan tujuh lagi sokongan ahli Dewan Rakyat.

Sebaliknya Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendakwa sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri didakwa bertambah berbanding 105 ahli Parlimen sebelum ini.

Namun, segala persoalan akan terjawab selepas kenyataan media dikeluarkan Istana Negara berhubung perkara ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam surat rasmi kepada semua 220 ahli Parlimen memaklumkan setiap anggota Dewan Rakyat perlu menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.

Surat akuan itu juga perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri sahaja, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan.

Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka.

Mereka juga menghantar SD itu menerusi emel, faks atau WhatsApp.

Perkembangan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat.

Berdasarkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN