MAIPk ziarah keluarga tukang kebun - Utusan Malaysia

MAIPk ziarah keluarga tukang kebun

ROSLI Sabar dan isterinya, Roszalinar Mohd. Salleh bersama anak mereka yang OKU, Muhammad Haikal di rumah sewa mereka di Teluk Intan baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Daerah Hilir Perak telah menziarahi keluarga tukang kebun sekolah yang mengalami kesempitan hidup selain mempunyai seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) selepas kisah mereka disiarkan Utusan Malaysia pada 9 Ogos lalu.

Dalam kenyataannya, MAIPk berkata, keluarga berkenaan ialah Rosli Sabar, 48, dan isterinya, Roszalinar Mohd. Salleh dan mendapati ketua keluarga itu bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah dengan memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan manakala isterinya tidak bekerja.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu mempunyai dua orang anak dan tinggal di sebuah rumah sewa dengan sewa RM150 sebulan.

Katanya, keluarga itu sudah menyewa di situ lapan tahun lalu dan sehingga kini, tiada masalah untuk beliau melunaskan bayaran sewa rumah tersebut berikutan Rosli masih bekerja selain tiada tanggungan yang berat.

“Pasangan itu mempunyai anak yang masih dalam tanggungan berikutan anak yang sulung iaitu Muhammad Haikal walaupun sudah berumur 20 tahun, namun, mengalami masalah OKU fizikal sejak dilahirkan.

“Anaknya itu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan manakala anak keduanya, Muhamad Ikmal kini berumur 10 tahun masih bersekolah.

“Pasangan itu tidak pernah membuat permohonan kepada MAIPk Daerah Hilir Perak sama ada bantuan kewangan bulanan mahupun bantuan bina rumah bagaimanapun mereka pernah dibantu dengan bantuan persekolahan MAIPk untuk anak mereka yang bersekolah bagi tahun 2018, 2019 dan 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, MAIPk Daerah Hilir Perak akan membincangkan bantuan yang sesuai untuk keluarga itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah.

Katanya, bagi bantuan bina rumah, perkara itu tidak dapat untuk diberikan pertimbangan pada masa ini memandangkan keluarga itu tidak mempunyai tapak bagi tujuan tersebut.

“Dicadangkan keluarga itu membuat permohonan tanah sebagai tapak rumah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak bagi membolehkan hasrat keluarga itu untuk memiliki rumah sendiri diberikan pertimbangan yang sewajarnya pada masa depan,” katanya.

Utusan Malaysia pada 9 Ogos lalu menyiarkan kisah keluarga tukang kebun itu di Kampung Lorong Masjid di sini yang impikan rumah sendiri yang lebih selesa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN