53 beg plastik berisi ketum dirampas di hentian lebuh raya

53 beg plastik berisi ketum dirampas di hentian lebuh raya

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 455 kilogram (kg) daun ketum yang dibungkus dalam 53 beg plastik hitam dirampas polis di Hentian Rehat Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) berhampiran Subang Jaya dekat sini, kelmarin.

Sindiket pengedaran daun ketum yang didalangi dua lelaki tempatan itu terbongkar dengan penahanan sebuah kereta Proton Waja kira-kira pukul 6.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, suspek berusia 34 dan 38 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan sebanyak 53 plastik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 455,000 gram yang diletakkan di ruang tempat duduk belakang.

“Nilai rampasan dianggarkan RM18,500 dan dipercayai untuk diedarkan ke selatan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Fairus berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah manakala suspek kedua empat rekod lampau.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 13 April bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN