KOTA TINGGI: Dalam tempoh enam jam, sebanyak lima buah kapal asing berjaya ditahan di sekitar perairan Johor selepas dikesan melanggar undang-undang perairan negara apabila berlabuh tanpa kebenaran, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, tangkapan dilakukan oleh aset pasukan itu di Zon Maritim Tanjung Sedili melibatkan dua kapal tangki dan sebuah kapal kargo.
Menerusi Op Jangkar Haram yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu, dua buah bot barter trade pula berjaya ditahan oleh Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini pada hari yang sama.
“Kesemua lima kapal tersebut disyaki telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.
“Penahanan pertama berlaku pada pukul 9.47 pagi di kedudukan 13 batu nautika timur Tanjung Balau yang melibatkan sebuah kapal kargo berdaftar dari Togo dikendalikan 16 kru warga Mesir dan Syria berumur antara 22 hingga 46 tahun.
“Pada pukul 1.55 petang, sebuah kapal tangki berdaftar dari Cayman Islands pula telah ditahan di kedudukan 13.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang, Johor. Kapal tangki dikendalikan 27 kru warga Filipina dan Rusia berumur antara 20 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi penahanan ketiga, Nurul Hizam berkata, ia melibatkan kapal tangki yang berdaftar dari Panama di kedudukan 13.9 batu nautika timur Tanjung Siang, tidak jauh dari kapal tangki kedua ditahan.
Jelasnya kapal tangki ini dikendalikan 25 kru warga Filipina dan Rusia, berumur antara 23 hingga 63 tahun.
“Manakala, Zon Maritim Batu Pahat telah menahan dua bot barter trade pada pukul 3.35 petang di kedudukan 2.4 baru nautika barat daya Tanjung Tohor. Kedua-dua bot tersebut dikendalikan lapan kru warga Indonesia berumur 25 hingga 42 tahun.
“Kesemua anak kapal bagi kelima-lima kapal itu memiliki dokumen perjalanan diri yang sah, tetapi kapal terbabit ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Tambahnya, Maritim Malaysia menerusi Maritim Negeri Johor akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan di sekitar kawasan perairan Johor bagi mengekang kapal-kapal yang bersauh secara haram.
Beliau turut menasihatkan kepada semua pemilik kapal serta agen-agen perkapalan agar terus mematuhi dan menghormati kedaulatan undang-undang perairan negara terutama di negeri Johor. -UTUSAN