Lapan deretan bengkel kenderaan musnah - Utusan Malaysia

Lapan deretan bengkel kenderaan musnah

LAPAN deretan bengkel di Jalan Tanjung Api- Padang Lalang di Kuantan, Pahang musnah dalam kebakaran hari ini. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah kenderaan mewah dan jentolak antara 10  kenderaan yang terbakar dalam kebakaran melibatkan lapan bengkel di Jalan Tanjung Api-Padang Lalang, di sini kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Pemilik bengkel kenderaan berat, Sarjit Singh, 74, berkata, dia bergegas ke bengkelnya sejurus selepas dihubungi rakannya pada pukul 6 pagi berhubung kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota bomba sedang berusaha  memadam kebakaran yang membabitkan  lapan deretan bengkel itu

“Ketika tiba di lokasi kejadian, api sudah marak dan tidak dibenarkan untuk mendekatinya kerana bomba sedang bertungkus-lumus memadam api.

“Saya dimaklumkan saksi, api bermula dari jentolak yang rosak terletak di depan bengkel namun agak pelik kerana jentera itu tiada bateri atau sistem elektrik untuk mencetuskan kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu, pekerja bengkel kereta, Osman Mohd. Yatim, 45, berkata, kira-kira 10 buah kenderaan milik pelanggan di bengkel tempatnya bekerja musnah dalam kejadian itu.

“Bengkel ini menyewa dua lot kedai dan kedua-duanya tidak dapat diselamatkan termasuk sebuah kereta mewah yang berada di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi panggilan 999 kira-kira pukul 5.06 pagi.

“Tiga jentera bersama 28 anggota termasuk pegawai dari Balai JBPM Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng  ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Ketika kejadian, terdapat enam pekerja warga asing yang tinggal di bangunan berkenaan namun kesemua mereka dapat  menyelamatkan diri.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 85 peratus bangunan terbabit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN