Lajim banyak berjasa dalam Bersatu - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Lajim banyak berjasa dalam Bersatu – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Lajim Haji Ukin  seorang ahli politik berpengalaman yang banyak berjasa dalam mencorakkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu itu berkata, sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu , Allahyarham adalah seorang sahabat dan rakan seperjuangan beliau yang dikenali sejak sekian lama serta pernah bersama-sama berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.

“Jasa beliau, saya dan seluruh kepimpinan dan ahli Bersatu amat-amat hargai sehingga kini. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan buat saya.

“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang yang tersayang. Semoga tabah melalui saat yang mendukacitakan ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin pada masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti bekas Allahyarham sepanjang bergelar Ahli Majlis Tertinggi dan juga selaku Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah. Semoga amalan baik Allahyarham mendapat ganjaran dari Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh. Amin,” katanya. 

Lajim yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar KPJ Sabah pada pukul 6.23 pagi tadi akibat jangkitan Covid-19.

Allahyarham disahkan positif Covid-19 pada 12 Ogos lalu dan dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak 13 Ogos lalu.

Lajim, 66, turut menghidap penyakit kronik termasuk penyakit jantung, buah pinggang dan darah tinggi.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008-2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009-2012.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort pada 2009-2012 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias pada 2013-2016.

Beliau pernah menjadi ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 2013-2016 semasa beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN