BALING : Kudung kaki dan jari tangan bukan penghalang bagi seorang pemuda untuknya melakukan kerja-kerja berat di bengkel besi miliknya di Kampung Teluk Temelah, Mukim Siong.
Shahrul Nizam Badrulsham, 28, berkata, minat yang mendalam dan kemahiran yang ada padanya bermula sejak remaja apabila sering mengikut bapanya, Badrulsham Baharom, 50, bekerja di bengkel membaiki jentera berat di Naka, Kuala Nerang.
“Saya amat minat dengan kerja-kerja pertukangan besi dan banyak dapat tunjuk ajar dari bapa selain belajar sendiri melalui Youtube.”
“Kecacatan anggota badan ini tidak menghalang kerja-kerja saya walaupun kadang-kadang agak sukar untuk melakukannya, nasib baik ayah ada dan banyak membantu saya menyiapkan tempahan pelanggan,” kata Shahrul Nizam ketika ditemui di rumahnya.
Menurutnya, bengkel besinya itu kecil sahaja dan hanya terletak di belakang rumah bagi memudahkannya bekerja.
Dia mengalami kecacatan kekal apabila api menyambar 85 peratus tubuhnya ketika melakukan kerja-kerja peteri di bengkel besi di Naka pada tahun 2010 ketika umurnya 17 tahun.
“Ketika melakukan kerja kimpalan, percikan api terkena tong drum kosong bekas berisi minyak diesel yang ada berhampiran tempat saya bekerja lalu meletup dan terbakar terus menyambar tubuh badan saya.”
“Saya terus tidak sedarkan diri, nasib baik bapa ada berhampiran dan dia segera meredah api yang sedang marak untuk membawa saya keluar dari kawasan itu,” katanya.
Kata anak sulung daripada dua beradik itu lagi, kejadian itu menyebabkan dia koma hampir dua bulan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Kejadian itu juga menyebabkan dia hilang ke semua jari tangan kanannya dan kaki kirinya terpaksa dibuang hingga ke paras paha selain seluruh anggota badannya kecuali muka berkedut kesan terbakar.
“Saya ingin mendapatkan sebuah bengkel besi yang lebih besar dan selesa untuk bekerja, namun keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid 19 ini menyebabkan banyak kerja tertangguh dan kekurangan pelanggan.”
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang membantu belikan mesin dan beberapa alatan lain untuk memudahkan kerja di bengkel ini,” kata Shahrul Nizam.
Katanya lagi, dia juga memerlukan perbelanjaan sebanyak RM200 sebulan untuk membeli ubat-ubatan seperti krim sapuan dan sebagainya untuk kulit bagi mengelak kekeringan dan pedih.
Dia juga perlu menjalani rawatan susulan ke HSB setiap bulan tetapi tidak dapat pergi kerana masalah kewangan dan jauh.- UTUSAN ONLINE