Konvensyen Dakwah Negara syor tubuh Majlis Syura Dakwah - Utusan Malaysia

Konvensyen Dakwah Negara syor tubuh Majlis Syura Dakwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konvensyen Dakwah Negara (KDN) yang bersidang secara dalam talian hari ini mencadangkan agar ditubuhkan Majlis Syura Dakwah di bawah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim).

Resolusi  yang dikemukakan oleh Sekretariat Konvensyen melalui persidangan meja bulat kedua itu bertujuan memantapkan lagi gerakan dakwah di Malaysia.

Moderator persidangan, Dr. Mohd. Razak Idris berkata, penubuhan majlis itu kini amat penting memandangkan usaha dakwah dalam negara sentiasa berhadapan bukan sahaja dengan masalah luaran malah juga masalah dalaman.

Katanya, antara masalah dalaman yang dihadapi ialah tiadanya keselarasan antara usaha-usaha dakwah itu sendiri yang dijalankan oleh pelbagai pihak secara bersendirian.

“Untuk majlis tersebut berjalan dengan baik ia dicadangkan berbentuk majlis perundingan yang dianggotai bersama oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yadim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Konvensyen Dakwah Negara diadakan secara modular mulai 2 Ogos lalu. Ia turut mendapat sokongan Jakim dan lebih 40 pertubuhan dakwah.

Ia berlangsung setiap Isnin bermula 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari sepanjang Ogos yang melibatkan empat sesi persidangan meja bulat dan satu sidang pleno.

Sidang meja bulat kedua yang berakhir tengah hari ini membincangkan tajuk ‘Masalah dan Keka­ngan Dalam Melaksanakan Tugas Dakwah Dalam Realiti di Malaysia Masa Kini’.

Ia dihadiri oleh lebih 200 peserta secara dalam talian itu dan diikuti oleh kira-kira 1,000 penonton melalui pelbagai media sosial yang digerakkan secara bersama di anjurkan oleh 40 pertubuhan dakwah dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Yang Dipertua Hikmah Sarawak, Tan Sri Abdul Aziz Husin mengalu-alukan resolusi tersebut yang disifatkannya boleh memberi impak kepada gerakan dakwah terutama kepada masyarakat bukan Islam.

“Lebih-lebih lagi di Sabah dan Serawak yang kelihatannya hari ini sangat lemah berbanding gerakan agama-agama lain khususnya dalam kalangan kaum Bumiputra di kedua-dua negeri itu,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya