KKM buat laporan polis berhubung isu dakwaan sogokan perolehan vaksin Moderna - Utusan Malaysia

KKM buat laporan polis berhubung isu dakwaan sogokan perolehan vaksin Moderna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat laporan polis bagi menyiasat dakwaan sogokan dalam proses perolehan vaksin Covid-19 yang dibangkitkan pengamal perubatan swasta, Dr. Musa Nordin baru-baru ini.

KKM menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, kementerian memandang serius dakwaan tidak berasas yang dibangkitkan Musa itu.

Menurutnya, satu laporan polis akan dibuat KKM supaya siasatan lanjut dapat dilakukan ke atas tuduhan berat ini.

“Pada 3 Ogos lalu, Musa menerusi sesi temu bual di sebuah saluran televisyen mendakwa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna.

“Jelasnya lagi, Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi (not enough kickbacks),” katanya

Katanya, sebagai rekod, perbincangan bagi perolehan vaksin jenis Moderna telah diadakan KKM dengan syarikat pengeluar vaksin ini iaitu ModernaTX Inc. pada penghujung tahun lalu.

Menurut KKM lagi, pada 6 Disember tahun lalu, ModernaTX Inc. membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ke-3 hingga suku tahun ke-4 tahun ini.

“Cadangan tawaran ModernaTX Inc. telah dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat tawaran tersebut boleh dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ke-3 2021, maka JKJAV membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar-pengeluar lain bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pihak ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA,” katanya.

Katanya, berdasarkan semakan dan rekod, pendaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada bulan Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc.

Jelasnya lagi, NPRA kini sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa
terdekat.

“Memandangkan kerajaan telah mempunyai portfolio dan jumlah dos yang mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, kerajaan akan membuat keputusan keperluan vaksin itu sebaik sahaja vaksin tersebut diluluskan pendaftarannya oleh NPRA, termasuk penggunaannya sebagai dos penggalak (booster shot) atau secara heterologi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya