Kerangka jambatan terbiar di tengah Sungai Jelai, penduduk Gemunchor minta alih - Utusan Malaysia

Kerangka jambatan terbiar di tengah Sungai Jelai, penduduk Gemunchor minta alih

MOHD. SAFRI Salleh menunjukkan kerangka tiang dan gelegar jambatan besi yang terbiar di Sungai Jelai, berdekatan Kampung Gemunchor di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerangka jambatan besi yang masih tersadai melintang Sungai Jelai berdekatan Kampung Gemunchor, Mela dekat sini menimbulkan tanda tanya penduduk setempat kenapa masih belum dialihkan sejak tujuh tahun jambatan konkrit baharu dibuka.

Difahamkan, jambatan bailey itu dibina oleh pengusaha balak untuk kemudahan memunggah kayu-kayan daripada hutan simpan berdekatan menyeberangi Sungai Jelai dihantar ke kilang berdekatan.

Setelah jambatan konkrit baharu siap dibina sepenuhnya pada 2015 menghubungkan Kampung Mela dengan Kampung Gemunchor dan boleh digunakan untuk kemudahan perhubungan darat termasuk mengangkut kayu balak, jambatan besi yang berusia 10 tahun ditinggalkan dan terus terbiar melintang arus Sungai Jelai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 41, berkata, dia dan penduduk beberapa buah kampung di situ hairan kenapa pengusaha terbabit tidak membersihkan kerangka jambatan yang tersadai di tengah arus sungai itu.

“Sejak jambatan konkrit baharu boleh digunakan pada 2015, struktur permukaan jambatan besi ini masih sempurna dengan dilitupi papan tebal dan besi tebal.

“Ketika bah merah 2014 dan kejadian banjir berulang setiap tahun selepas itu, papan tebal dan besi di permukaannya mula dihanyutkan air dan sehingga ini cuma tinggal kerangka tiang dan gelegar masih tersadai di tengah sungai ini,” katanya di Kampung Gemunchor dekat sini semalam.

Menurut Mohd. Safri, kerangka tiang dan gelegar besi jambatan itu cukup membahayakan bot nelayan sungai dan penduduk ketika membawa hasil kampung yang kerap melalui di kawasan itu termasuk aktiviti menangkap ikan pada waktu malam.

“Kerangka tiang dan gelegar besi yang masih melintang sungai ini menyebabkan banyak sampah-sarap seperti kayu balak dan buluh tersangkut amat membahayakan laluan bot malah ketika air sungai naik waktu banjir dibimbangi boleh berlaku kemalangan air,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Gemuncur, Roslan Idris berkata, dia serta penduduk kampung tersebut berharap kerajaan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pengusaha berkenaan mengalihkan kerangka besi dan gelegar dari sungai berkenaan.

“Harapan kami di sini supaya Sungai Jelai kelihatan bersih tanpa kerangka jambatan besi ini sekali gus dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengindahkan persekitaran perairan di sini.

“Usaha untuk mengalihkan kerangka jambatan ini wajar untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini, iaitu kemalangan air kerana setiap hari termasuk waktu malam bot nelayan sungai dan penduduk kerap melintas di kawasan ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN