PETALING JAYA : Bermula 16 Ogos ini, orang ramai di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut apabila kerajaan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang akan dibenarkan kembali beroperasi.
Sebanyak 11 aktiviti tersebut adalah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas dan kedai gunting rambut dan pusat atau salon kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilik premis yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini juga perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.
“Sekali lagi diingatkan, maksud vaksinasi lengkap ialah 14 hari selepas tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin jenis dua dos, dan 28 hari selepas tarikh suntikan bagi vaksin jenis satu dos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan kerajaan menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa mempertimbangkan kemudahan-kemudahan lain dengan memberi penekanan terhadap tiga aspek utama iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.
Kata beliau, kerajaan faham bahawa banyak aktiviti ekonomi yang tergendala dan pelbagai kemahuan tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik ini termasuklah membeli barangan rumah selain keperluan asas dan memotong rambut serta pelbagai lagi kemahuan kendiri.
“Kerajaan sedar, semakin lama perkara ini dihadkan, semakin besar risikonya terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat. Kerajaan juga melihat bahawa amat penting untuk sektor ekonomi kembali dibuka secara berperingkat kerana jika tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.
“Penting untuk dijelaskan, kemudahan terbaharu yang saya umumkan ini akan terpakai ke atas semua fasa PPN dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.
“Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos lalu, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus. Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan ini apabila kemudahan-kemudahan ini mula berkuatkuasa.
“Perincian garis panduan bagi kemudahan-kemudahan yang saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam waktu terdekat,” katanya.-UTUSAN ONLINE