Kerajaan tambah baik proses vaksin di PPV Persada - Utusan Malaysia

Kerajaan tambah baik proses vaksin di PPV Persada

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menambah kaunter pendaftaran dan laluan khas bagi golongan warga emas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kawalan pergerakan khususnya aliran trafik di sekitar PPV berkenaan juga akan dipertingkatkan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengawal aliran trafik dengan lebih teratur manakala aplikasi MySejahtera perlu menjadualkan waktu suntikan dengan lebih efektif.

“Perkara ini tidak akan berlaku lagi,” katanya dalam satu ciapan di laman sosial Twitter miliknya, hari ini.

Hasni berkata demikian sebagai menjawab keluhan masyarakat berhubung kejadian orang awam berkumpul beramai-ramai di PPV berkenaan untuk mendapatkan suntikan mereka.

Antara yang terlibat termasuklah sekumpulan warga emas yang sama-sama beratur.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi ciapan di Twitter dan akaun Instagram rasminya pula bertitah akan menyiasat isu berkenaan.

“Saya akan siasat dan titah kerajaan untuk mengambil tindakan berkenaan isu ini,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN