Kerajaan GRS tidak akan berubah - Utusan Malaysia

Kerajaan GRS tidak akan berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memberi jaminan kemelut politik yang berlaku di peringkat Persekutuan tidak akan melarat hingga ke Sabah.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, beliau yakin perubahan kepimpinan di peringkat Pusat tidak akan menggugat kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini.

“Kami sentiasa berbincang dalam kalangan pemimpin GRS, sebab itu kita yakin tidak ada kesan atau perubahan di Sabah.

“Kita sudah mengadakan perbincangan secara dalaman untuk mengekalkan kerjasama di peringkat negeri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan GRS di Sabah sekiranya UMNO Sabah menuntut status quo di peringkat negeri.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu tidak menolak kemungkinan pemimpin Sarawak boleh diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana mereka memberi sumbangan signifikan kepada pemilihan Perdana Menteri.

Jeffrey berharap agar kemelut politik di Semenanjung Malaysia selesai dengan pemilihan Perdana Menteri baharu hari ini.

“Kita harus memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah pandemik Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat ekonomi yang tidak stabil.

“Tumpuan Kabinet baharu adalah kepada usaha sebegitu dan pada masa sama, saya berharap Kabinet baharu akan mengambil kira mahupun memberi tumpuan kepada isu Sabah dan Sarawak, khususnya hal-hal dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas ini, saya berharap tiada lagi perebutan jawatan Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan dan mandat diserahkan kepada rakyat untuk menentukan segalanya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN