MELAKA: Pengumuman Kabinet baharu dengan mengekalkan sebahagian besar menteri dan timbalan menteri daripada kerajaan terdahulu disifatkan sebagai satu langkah tepat diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ia penting bagi memastikan kelancaran dan kesinambungan segala pelan perancangan serta inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk menyelesaikan cabaran pandemik Covid-19.
Beliau berkata, ini termasuk memulihkan ekonomi negara, mengekalkan kestabilan, menjamin kelangsungan hidup rakyat serta mengembalikan semula keyakinan pelabur dapat dilakukan dengan lebih pantas serta berkesan dalam tempoh masa mustahak yang ditetapkan.
“Pertamanya, bagi pihak kerajaan negeri, saya menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana telah memperkenan senarai anggota jemaah menteri Persekutuan baharu.
“Tindakan Perdana Menteri mengekalkan sebahagian besar ahli jemaah menteri Persekutuan dalam Kabinet Persekutuan yang baharu ini dianggap sebagai langkah tepat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, empat pemimpin dilantik sebagai menteri kanan dalam pembentukan senarai Kabinet baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Empat nama terlibat ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan pelantikan beberapa muka baharu, Sulaiman berkata, mereka juga dilihat berpengalaman, seterusnya dapat membantu Perdana Menteri dalam
memperkasakan lagi fungsi dan peranan Kabinet Persekutuan
sebagai pasukan pengurusan yang tertinggi serta utama.
“Saya berharap dan mendoakan semoga Allah memberi kejayaan kepada Keluarga Malaysia dan merahmati pertiwi bertuah ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 
								 
											









